MUSIM cuti persekolahan telah pun bermula. Bagi kebanyakan pelajar, musim cuti persekolahan merupakan saat yang paling ditunggu-tunggu.
Begitu juga sesetengah ibu bapa, musim cuti persekolahan sedikit sebanyak memberi kelegaan daripada jadual padat dan sibuk menghantar serta mengambil anak-anak hampir setiap pagi dan petang.
Bagi ibu bapa yang berdedikasi tinggi, mereka pastinya telah mempunyai perancangan rapi bagi anak-anak sepanjang cuti persekolahan yang akan berakhir pada 20 Jun ini (bagi negeri-negeri kumpulan B) agar masa yang terluang lebih dua minggu itu tidak habis begitu sahaja.
Namun, bagaimana pula dengan ibu bapa yang terikat dengan pekerjaan dan tetap ke pejabat ketika anak-anak bercuti tanpa pemerhatian daripada mereka?
Ada yang mengambil pendekatan menghantar anak-anak pulang ke kampung dan tidak kurang juga yang hanya melepaskan anak-anak di rumah dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada mereka untuk memanfaatkan sendiri masa yang terluang.
Perkembangan yang penulis saksikan di sekitar Teluk Chempedak, Kuantan pada malam hujung minggu lalu sewajarnya diberi perhatian oleh ibu bapa.
Kehadiran penulis bersama keluarga di pantai itu dikejutkan dengan gelagat anak- anak muda yang ibarat ‘kambing baru terlepas dari kandang.’
Ada yang menghisap shisha di sebuah gerai yang terdapat di kawasan pantai berkenaan, segelintir remaja lelaki pula tidak lekang memegang rokok, selain pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang keterlaluan.
Mungkin keadaan itu memerlukan campur tangan pihak berwajib seperti Majlis Perbandaran Kuantan dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Ketika diajukan perkembangan tersebut kepada seorang pakar motivasi, Profesor Madya Dr. Rusinah Siron, beliau berkata, ibu bapa seharusnya mempunyai perancangan dalam mengisi masa terluang anak-anak sepanjang cuti persekolahan ini.
Beliau yang juga Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajaran, Pembangunan dan Perhubungan Luar, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) berkata, bentuk pengisian itu tidak semestinya melibatkan percutian yang memakan belanja besar, sebaliknya, ia boleh diatur hanya di kawasan rumah.
“Ibu bapa jangan salah konsep dalam menghabiskan masa cuti sekolah dengan anak-anak. Ia tidak semestinya melibatkan percutian yang memerlukan belanja besar.
“Yang lebih penting, pengisian tersebut perlu melibatkan aspek fizikal, sosial, emosi dan rohani anak-anak,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Rusinah berkata, jika sebelum ini ibu bapa sibuk bekerja, maka musim cuti persekolahan merupakan waktu terbaik bagi mereka mendekati anak-anak dan menyelami permasalahan mereka.
Selain itu, katanya, anak-anak juga boleh didekatkan dengan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dan sebagainya supaya mereka tidak terlibat dalam kegiatan melepak serta pelbagai salah laku sosial lain.
“Masa cuti sekolah juga boleh diisi dengan aktiviti di sekitar rumah sahaja dan melibatkan jiran tetangga.
“Selain itu, ibu bapa juga perlu bertegas dengan anak-anak supaya anak-anak tidak membuang masa dengan hanya menonton televisyen, bermain komputer dan sebagainya. Ajar anak-anak terutama anak perempuan untuk mengurus rumah dan sebagainya,” katanya.
Beliau juga berkata, bagi anak-anak yang akan menduduki peperiksaan, ibu bapa boleh merancang percutian berbentuk akademik dengan mereka.
Ringkasnya, ibu bapa seharusnya memberikan pengisian yang berfaedah kepada anak-anak bagi mengelak mereka terjebak dalam perlakuan negatif dan juga insiden tidak diingini yang akhirnya merugikan semua pihak. Justeru itu, beringatlah sebelum kena dan berwaspadalah sebelum terjadi.
Dipetik dari : YULPISMAN ASLI
utusanpahang@utusan.com.my

No comments:
Post a Comment